Tuesday, June 1, 2010

Flotila bantuan tak bawa senjata

KUALA LUMPUR 31 Mei - Salah seorang aktivis pro-Palestin dari Malaysia yang menyertai 'Flotila Pembebasan' membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza menafikan aktivis pro-Palestin yang menaiki kapal Mavi Marmara membawa senjata.

Seorang wakil delegasi Malaysia daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, tidak ada seorangpun aktivis mahupun kapal-kapal yang menyertai 'Flotila Pembebasan' ke Gaza membawa senjata.

''Setiap kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ini telah diperiksa setiap kali sampai di pelabuhan-pelabuhan negara-negara terbabit.

''Kami (kapal-kapal) telah diperiksa dengan ketat semasa tiba di Ireland, Cyprus, Gilbralta dan Malta,'' katanya.

Beliau berkata, Israel sengaja menggunakan alasan itu untuk menyerang kapal Mavi Marmara.

Shamsul Akmar yang menaiki kapal Rachel Corrie menyertai konvoi kapal-kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu kini berada di belakang setelah kapal itu terlewat berlepas dari Malta apabila pihak berkuasa Cyprus enggan memberi kebenaran kepada kapal tersebut berlepas melalui pelabuhannya.

''Kami terlewat berlepas kerana terpaksa menggunakan laluan dari Malta untuk berlepas setelah Cyprus enggan membenarkan kami berlepas dari pelabuhannya,'' kata beliau.

Menurutnya, kapal Rachel Corrie yang mereka naiki berlepas malam tadi dan kini berada 800 batu nautika dari Gaza.

''Kapal kami kini berada di Laut Mediterranean pada pukul 11 pagi (kira-kira pukul lima petang waktu Malaysia) pada jarak 800 batu nautika dari Gaza,'' katanya.

Shamsul Akmar berkata, kapal Rachel Corrie dijangka tiba dalam masa dua hari lagi bersama dua lagi kapal Challenger 1 dan Challenger 2 yang bertolak lebih awal.

Beliau berkata, semua kapal yang menyertai misi itu tidak membawa senjata kerana misi turut disertai seorang tokoh Nobel Keamanan, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland dan bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Denis Halliday.

Menurutnya, sebanyak sembilan kapal menyertai flotila tersebut bersama-sama 700 aktivis pro-Palestin.

Beliau melahirkan rasa sedih dengan berita kapal Mavi Marmara diserang tentera Israel dan mendoakan aktivis pro-Palestin yang lain yang berada di atas kapal itu selamat.

Menurutnya, terdapat empat wakil Malaysia dalam kapal Turki itu termasuk dua wartawan Malaysia.

Seramai 16 aktivis pro-Palestin terkorban dalam serangan tentera Israel itu pagi ini waktu tempatan. - Utusan

Sumber:

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

No comments: