Tuesday, June 1, 2010

Malaysia kutuk keganasan Israel

1 Jun 2010 / 18 Jamadil Akhir 1431

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestin di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seluruh dunia juga harus mengutuk serangan terhadap konvoi yang berada di perairan antarabangsa itu yang sepatutnya sebarang tindakan dalam bentuk ketenteraan tidak dibenarkan mengikut undang-undang antarabangsa.

''Ini menunjukkan kerakusan rejim Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan menggunakan kekuasaan mengikut sesuka hati mereka.

''Ia dilakukan tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan yang dilakukan ini boleh membawa kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa sama sekali.

''Oleh itu, seluruh dunia patut mengutuk dan mengecam kerajaan Israel sekeras-kerasnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Amal Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Melaka yang juga presiden alumni berkenaan, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Najib berharap insiden itu akan membawa kepada satu bentuk tindakan yang boleh dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk tindakan mengutuk sekeras-kerasnya kerajaan Israel.

''Kita sedang fikirkan mungkin kita akan mengusulkan supaya perkara ini dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan PBB supaya satu ketetapan dibuat terhadap kerajaan Israel.

''Sama ada ia boleh dilakukan dengan segera, ia bergantung pada persetujuan dari negara-negara lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, beliau sedang menunggu butir-butir perkembangan selanjutnya tentang apa yang berlaku.

''Kita belum dapat lagi apa-apa maklumat yang sahih tentang nasib rakyat Malaysia. Saya difahamkan ada beberapa rakyat kita yang berada di atas kapal tersebut yang telah diserang oleh pihak Israel," katanya.

Sumber:
Oleh NIZAM YATIM
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments: