Wednesday, June 16, 2010

PBB agih bantuan kemanusiaan ke Gaza

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata semalam, ia bersetuju mengambil balik bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas oleh Israel dan mengagihkannya di kawasan penempatan Palestin yang ditutup.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sudah memperoleh kebenaran pemilik tiga kapal yang didaftar di Turki bagi mengambil alih bahan berkenaan dan memikul tanggungjawab memastikan ia diagihkan di Gaza bagi tujuan kemanusiaan,” Penyelaras PBB bagi rantau Asia Barat, Robert Serry memberitahu Majlis Keselamatan PBB.

Israel merampas bahan bantuan berkenaan yang dibawa dengan kapal yang berdaftar di Turki dalam serangan di perairan antarabangsa 31 Mei lalu, yang meng-akibatkan sembilan aktivis Turki pro-Palestin terkorban.

Pada hari berikutnya, Majlis Keselamatan PBB, dalam sesi mesyuarat tergemparnya, mahukan ‘siasatan segera, berwibawa dan telus’ dijalankan berhubung serangan itu dan mendesak pembebasan serta-merta enam kapal dan beratus-ratus penyokong Palestin yang berada di dalam kapal berkenaan.

Serry berkata Israel kini bersetuju membebaskan semua barangan kargo itu kepada PBB di Gaza, ‘dengan persefahaman bahawa PBB akan menentukan kegunaannya untuk tujuan kemanusiaan di Gaza.’

“Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa pihak berkuasa di Gaza, iaitu Hamas, akan menghormati program PBB yang tidak memihak kepada sesiapa,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Turki kerana memainkan ‘peranan membina’ memudahkan proses berkenaan.

Di BEIRUT, sebuah kapal bantuan yang membawa bekalan perubatan ke Gaza akan berlepas dari Lubnan dalam tempoh beberapa hari, dengan penyertaan berpuluh-puluh aktivis wanita, kata salah seorang penganjurnya.

“Kami mewakili badan bebas wanita yang berhasrat memecahkan sekatan Israel di Gaza dan komited kepada perjuangan melawan Zionis,” kata Samar Hajj, yang menyelaraskan pelayaran kapal berkenaan.

Tegasnya, wanita terbabit tidak ada kaitan dengan kumpulan Hizbullah, atau mana-mana pertubuhan politik. – AFP

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PBBagihbantuankemanusiaankeGaza/Article

No comments: