Tuesday, June 15, 2010

Iran pula hantar kapal bantuan ke Gaza

TEHERAN 14 Jun - Iran menghantar kapal bantuan ke Genting Gaza dalam langkah yang dijangka dianggap sebagai provokasi oleh Israel yang menuduh Teheran membekalkan senjata kepada pergerakan Hamas di wilayah Palestin itu.

Sebuah kapal meninggalkan pelabuhan semalam, dan sebuah lagi akan berlayar pada Jumaat ini, dengan membawa bekalan makanan, bahan binaan dan alat permainan, menurut laporan radio kerajaan hari ini.

Kapal-kapal itu adalah sebahagian usaha antarabangsa untuk melanggar sekatan Israel ke atas Gaza.

"Iran akan terus menghantar kapal bantuan sehingga berakhirnya sekatan ke atas Gaza," kata seorang pegawai daripada Persatuan Iran bagi Pembelaan Bangsa Palestin.

Seorang pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata, kira-kira 100,000 sukarelawan Iran telah mendaftar diri untuk menjadi krew kapal-kapal bantuan itu.

Bagaimanapun timbalan ketua Pengawal Revolusi Iran, Hossein Salami menafikan kenyataan seorang pegawai kanan kerajaan bahawa pasukan tentera elit itu bersedia untuk mengiringi kapal bantuan ke Gaza jika diarah oleh Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

"Tidak ada rancangan untuk berbuat demikian. Langkah sedemikian tidak termasuk dalam agenda kami," kata Salami. - Reuters

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm


No comments: