Tuesday, July 22, 2014

Al-Qassam digeruni Israel

GAZA CITY 21 Julai - Kecekapan pejuang Hamas melancarkan taktik perang gerila menggunakan terowong bawah tanah ternyata digeruni tentera Israel yang sukar mengesan pergerakan masuk anggota Briged Izzuddin Al-Qassam ke wilayah dikuasai rejim Zionis.

Al-Qassam, yang merupakan kumpulan sayap Hamas kini menggunakan terowong sebagai senjata utama untuk mengekang serangan bertubi-tubi tentera darat Israel yang mahu menceroboh Gaza, selain turut melancarkan serangan roket ke kawasan wilayah rejim Zionis Israel sejak konflik itu tercetus pada 8 Julai lalu.

Malah laporan laman web Aman Palestin yang memetik kenyataan jurucakap Al-Qassam, Abu Obaida berkata, pihaknya berjaya menculik seorang tentera Israel bernama Shaul Aron dalam pertempuran di Sheijaya, semalam selain membunuh 13 askar Israel dan mencederakan 50 yang lain.

5 maut hospital Gaza dibedil

GAZA 21 Julai - Sekurang-kurang lima terkorban, manakala 70 termasuk kakitangan hospital cedera apabila Israel menyerang Hospital al-Aqsa di tengah Genting Gaza, hari ini.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf Al-Qidra, beberapa roket mengenai tingkat tiga bangunan itu yang menempatkan unit rawatan intensif dan juga bilik pembedahan.

Katanya lagi, serangan itu turut menjejaskan kawasan sekitar hospital berkenaan sambil menambah pihaknya meminta bantuan Palang Merah untuk membantu memindahkan pesakit.

Israel bagaimanapun enggan mengulas kejadian tersebut. Sebelum ini rejim Zionis itu menuduh pejuang Hamas melancarkan serangan roket ke Israel dari beberapa kawasan hospital di Gaza dan berlindung di dalam bangunan-bangunan tersebut. - REUTERS

PBB gesa Hamas-Israel laksana gencatan senjata

GAZA CITY 21 Julai - Selepas 14 hari membisu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akhirnya membuka mulut untuk menggesa gencatan senjata dilaksanakan antara Hamas dan Israel ketika angka korban penduduk awam di Gaza terus meningkat kepada 508 orang dan 3,150 orang lagi cedera.

Wakil Tetap PBB dari Rwanda, Eugene Richard Gasana yang mempengerusikan sidang tersebut berkata, gesaan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar semalam ekoran kebimbangan terhadap jumlah kematian yang semakin meningkat akibat konflik di Gaza.

"Semua 15 anggota majlis menggesa pertempuran dihentikan dengan segera dan gencatan senjata dilaksanakan," katanya.

Rundingan gencatan senjata antara pemimpin Hamas, Khaled Meshaal dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Qatar dijangka berlangsung hari ini selepas tertangguh selama sehari.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut berada di Doha bagi bertemu dengan kedua-dua pihak terlibat untuk mencari jalan penyelesaian konflik di rantau terbabit.

Bagaimanapun wakil Palestin, Ryan Mansour menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan PBB untuk mengambil pendirian kuat dan mengambil langkah yang lebih tegas bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis.

"Majlis Keselamatan PBB sekali lagi gagal menggalas tanggungjawab mereka," katanya. - AFP

Israel guna peluru berangkai

GAZA CITY 21 Julai - Tentera Israel dilaporkan menggunakan peluru damak dalam serangan mereka di Gaza, senjata yang disifatkan sebagai menyalahi undang-undang kemanusiaan oleh pertubuhan hak asasi manusia Israel, B'Tselem.

Peluru yang biasanya dilancarkan dari kereta kebal dan digambarkan sebagai 'senjata yang tidak tepat' untuk digunakan dalam pertempuran di kawasan bangunan itu, akan meletup di udara dengan melepaskan ribuan damak kecil diperbuat daripada besi yang setiap satunya berukuran empat sentimeter.

The Guardian melaporkan, Pusat Palestin bagi Hak Asasi Manusia (PCHR) mendakwa enam peluru damak itu digunakan semasa pengeboman di perkampungan Khuzaa di Genting Gaza pada 17 Julai lalu.

Tentera Israel ketika diminta mengesahkan perkara itu oleh media tidak menafikan mereka menggunakan peluru tersebut dalam konflik berkenaan dengan mendakwa mereka hanya membawa senjata 'yang disahkan di bawah undang-undang antarabangsa'. - AGENSI

Dua tentera Israel-Amerika terbunuh

WASHINGTON 21 Julai - Dua warganegara Amerika Syarikat (AS) merupakan antara 13 anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang terbunuh dalam pertempuran di Gaza, semalam.

"Kami boleh mengesahkan kematian rakyat AS, Max Steinberg dan Sean Carmeli di Gaza. Sebagai penghormatan kepada mereka yang terlibat, kami tidak mempunyai maklumat lanjut buat masa ini," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki dalam satu kenyataan.

Los Angeles Times melaporkan, Carmeli, 21, yang kedua ibu bapanya merupakan rakyat Israel, membesar di Texas manakala Steinberg, 24, membesar di selatan California. Kedua-duanya merupakan anggota tentera Israel bagi Briged Golani.

Menurut laporan Jewish Journal of Greater Los Angeles, Steinberg tinggal di bandar Beersheba dan menyertai IDF pada penghujung 2012 sebagai seorang penembak tepat, manakala butiran Carmeli masih tidak diketahui. - AFP

Israel tiada perikemanusiaan

GAZA CITY 20 Julai - Krisis kemanusiaan di Gen­ting Gaza semakin meruncing apabila ribuan penduduk di daerah Shejaiya, timur Gen­ting Gaza yang kebanyakannya berkaki ayam dan memakai baju ti­dur, bertempiaran lari selepas rejim Israel melancarkan sera­ngan bertubi-tubi ke kawasan tersebut hari ini. Mayat-mayat dapat dilihat bergelimpangan di jalan-jalan raya ketika kereta kebal Israel melancarkan serangan di Shejaiya yang padat dengan penduduk. Pembunuhan besar-besaran di lokasi tersebut mengakibatkan 87 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan bayi. Ambulans juga dilaporkan tidak dapat memasuki kawasan perumahan berdekatan sempadan Gaza-Israel tersebut ekoran bertubi-tubi Israel walaupun penduduk merayu meminta bantuan. Akibatnya, beribu-ribu penduduk yang terdesak, mening­galkan kawasan perumahan mereka dan berjalan kaki hampir lebih dua jam ke Gaza City. Mereka terpaksa meninggalkan mayat-mayat di jalan-jalan di kawasan perumahan di Nazzaz, Shaaf dan bahagian lain yang terletak antara Gaza City dan sempadan Israel, Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra berkata, mayat sekurang-kurangnya 40 orang berjaya ditemui, mening­katkan angka ke­matian serangan rejim Zionis itu sepanjang 13 hari serangan ketenteraan kepada lebih 425 orang. Beliau berkata, angka kematian dijangka meningkat mendadak ekoran beratus-ratus orang dilaporkan cedera. Di Hospital Shifa di Gaza City, mayat-mayat yang mang­sa yang cedera dibawa dengan kereta dan trak ke hospital. Dalam pada itu, Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan mengulangi kutukan yang menyamakan tindakan kejam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai pemimpin Nazi, Adolf Hitler ekoran serangan tidak berperikemanusiaan ke atas Genting Gaza. - AFP Source: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140721/lu_01/Israel-tiada-perikemanusiaan#ixzz38ARuu9P1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Puluhan ribu bantah Israel di London, Paris

LONDON 20 Julai - Beberapa lokasi di tengah kota London semalam lumpuh apabila beribu-ribu penyokong pro-Palestin berarak bagi membantah serangan Israel ke atas Gaza, manakala di Paris satu tunjuk perasaan sama bertukar ganas. Beberapa penganjur tunjuk perasaan di London mendakwa, berpuluh-puluh ribu orang menyertai perarakan tersebut yang bermula dari pejabat Perdana Menteri Britain, David Cameron ke Kedutaan Israel. Kesemua penunjuk perasaan melaungkan bantahan 'Israel negara pengganas'. Polis enggan memberi jumlah anggaran penunjuk perasaan, namun beberapa batang jalan raya memasuki pusat bandar telah ditutup untuk perarakan sejauh 4.8 kilometer yang berlangsung secara aman. Sementara itu di Paris berlaku sebaliknya, apabila tunjuk pe­rasaan bertukar ganas selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar peraturan perhimpunan dengan membaling batu dan botol ke arah polis antirusuhan yang kemudian bertindak balas melepaskan gas pemedih mata. Seramai 33 orang ditangkap petang semalam, kata sumber polis, manakala tiga anggota polis cedera dalam pertempuran di Montmartre di utara Paris. Beberapa tunjuk perasaan dibenarkan di beberapa buah bandar di Perancis, yang menyaksikan beribu-ribu peserta hadir memberi sokongan termasuk di Lyon, Marseille dan Strasbourg, manakala beberapa ribu penyokong lain berhimpun sebagai tanda sokongan bersama Palestin di Brussels, Belgium. - AFP/REUTERS Source: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140721/lu_02/Puluhan-ribu-bantah-Israel-di-London-Paris#ixzz38ARfvZyk © Utusan Melayu (M) Bhd

Mutakhir Rakyat Palestin perlu lebih daripada bantuan kemanusiaan - Imam Gaza

KUCHING: Rakyat Palestin sejak sekian lama sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada negara atau orang lain untuk perjuangkan kedaulatan, maruah atau tanah air mereka, tetapi perlu pertahankannya dengan nyawa sendiri, kata seorang imam muda daripada Gaza. Hamzah Zohdi, 25, berkata beliau baru sahaja menerima panggilan telefon daripada saudaranya di Gaza memaklumkan tentera Israel menggunakan senjata kimia dalam serangan ke atas Gaza, namun dengan pantas berkata: "Adakah anda fikir sesiapa akan peduli?". Pada ceramah khas dianjurkan Jabatan Penerangan Sarawak di sini, semalam, Hamzah berkata kurangnya berita tepat daripada Palestin juga merupakan satu daripada masalah dihadapi rakyat Palestin kerana kebanyakan media dikawal Zionis. "Memang betul kami perlukan pertolongan, bantuan kemanusiaan dan banyak sumbangan untuk meneruskan kehidupan, tetapi satu lagi perkara penting yang diperlukan adalah memahami apa sebenarnya berlaku di Palestin, sejarah, penindasan, supaya masyarakat dunia boleh mendesak Israel menghentikan serangan," katanya. Sambil menyatakan agak malang bahawa negara-negara Arab memilih untuk tidak berbuat apa-apa demi rakyat Palestin, beliau juga mengakui bahawa dalam kebanyakan kes, rakyat di negara berkenaan bersatu dalam menyokong Palestin. Hamzah, lulusan ijazah sarjana Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), berkata beliau berharap dapat menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah di Malaysia tidak lama lagi sebelum beliau dan isterinya pulang ke Gaza untuk bersatu dengan ibu bapanya. Katanya satu perkara yang perlu dijelaskan adalah perjuangan di Palestin bukan mengenai agama, tetapi mengenai tanah, sikap tamak kerajaan Israel untuk merampas tanah rakyat Palestin, dengan itu menafikan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka. "Sebab itu kenapa dunia perlu bersatu mengutuk serangan Israel tanpa mengira agama, kepercayaan atau pegangan politik, kerana ini sebenarnya kes tamakkan tanah, bukan perkara lain," katanya. Hamzah berkata agenda utama Israel ketika ini adalah untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, dan sejak serangan Israel pada 6 Julai, beliau dimaklumkan lebih 1,600 rumah musnah. Israel mula melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza awal bulan ini dan angka kematian rakyat Palestin telah mencecah lebih 500 orang. - BERNAMA Source : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RakyatPalestinperlulebihdaripadabantuankemanusiaan-ImamGaza/Article

Israel terus mengasak Gaza ketika dunia mengusahakan gencatan senjata

BANDARAYA GAZA: Israel terus mengasak Gaza bagi hari ke-14 semalam, mengakibatkan jumlah kematian rakyat Palestin meningkat kepada 570 orang, ketika Kaherah berusaha menjadi ‘broker’ gencatan senjata. Dengan serangan udara dan bedilan bertalu-talu ke atas semenanjung berkenaan, Israel berkata tujuh askarnya terbunuh setakat ini, menjadikan 25 askar dan dua orang awamnya maut setakat ini. Oleh kerana sebahagian besar mangsa terdiri daripada orang awam, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon merayu agar keganasan dihentikan segera. Pemimpin Liga Arab, Nabil al-Arabi mengegsa Hamas supaya menerima cadangan mesir untuk menamatkan pertempuran itu yang ditolaknya minggu lalu. - AFP Source : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsraelterusmengasakGazaketikaduniamengusahakangencatansenjata/Article