GAZA CITY 21 Julai - Selepas 14 hari membisu, Majlis Keselamatan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akhirnya membuka mulut untuk
menggesa gencatan senjata dilaksanakan antara Hamas dan Israel ketika
angka korban penduduk awam di Gaza terus meningkat kepada 508 orang dan
3,150 orang lagi cedera.
Wakil Tetap PBB dari Rwanda, Eugene Richard Gasana yang
mempengerusikan sidang tersebut berkata, gesaan itu dibuat selepas
Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar semalam ekoran
kebimbangan terhadap jumlah kematian yang semakin meningkat akibat
konflik di Gaza.
"Semua 15 anggota majlis menggesa pertempuran dihentikan dengan segera dan gencatan senjata dilaksanakan," katanya.
Rundingan gencatan senjata antara pemimpin Hamas, Khaled Meshaal dan
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Qatar dijangka berlangsung hari ini
selepas tertangguh selama sehari.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut berada di Doha bagi bertemu
dengan kedua-dua pihak terlibat untuk mencari jalan penyelesaian konflik
di rantau terbabit.
Bagaimanapun wakil Palestin, Ryan Mansour menyuarakan kekecewaan
terhadap kegagalan PBB untuk mengambil pendirian kuat dan mengambil
langkah yang lebih tegas bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis.
"Majlis Keselamatan PBB sekali lagi gagal menggalas tanggungjawab mereka," katanya. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment