Tuesday, July 22, 2014

Mutakhir Rakyat Palestin perlu lebih daripada bantuan kemanusiaan - Imam Gaza

KUCHING: Rakyat Palestin sejak sekian lama sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada negara atau orang lain untuk perjuangkan kedaulatan, maruah atau tanah air mereka, tetapi perlu pertahankannya dengan nyawa sendiri, kata seorang imam muda daripada Gaza. Hamzah Zohdi, 25, berkata beliau baru sahaja menerima panggilan telefon daripada saudaranya di Gaza memaklumkan tentera Israel menggunakan senjata kimia dalam serangan ke atas Gaza, namun dengan pantas berkata: "Adakah anda fikir sesiapa akan peduli?". Pada ceramah khas dianjurkan Jabatan Penerangan Sarawak di sini, semalam, Hamzah berkata kurangnya berita tepat daripada Palestin juga merupakan satu daripada masalah dihadapi rakyat Palestin kerana kebanyakan media dikawal Zionis. "Memang betul kami perlukan pertolongan, bantuan kemanusiaan dan banyak sumbangan untuk meneruskan kehidupan, tetapi satu lagi perkara penting yang diperlukan adalah memahami apa sebenarnya berlaku di Palestin, sejarah, penindasan, supaya masyarakat dunia boleh mendesak Israel menghentikan serangan," katanya. Sambil menyatakan agak malang bahawa negara-negara Arab memilih untuk tidak berbuat apa-apa demi rakyat Palestin, beliau juga mengakui bahawa dalam kebanyakan kes, rakyat di negara berkenaan bersatu dalam menyokong Palestin. Hamzah, lulusan ijazah sarjana Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), berkata beliau berharap dapat menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah di Malaysia tidak lama lagi sebelum beliau dan isterinya pulang ke Gaza untuk bersatu dengan ibu bapanya. Katanya satu perkara yang perlu dijelaskan adalah perjuangan di Palestin bukan mengenai agama, tetapi mengenai tanah, sikap tamak kerajaan Israel untuk merampas tanah rakyat Palestin, dengan itu menafikan hak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka. "Sebab itu kenapa dunia perlu bersatu mengutuk serangan Israel tanpa mengira agama, kepercayaan atau pegangan politik, kerana ini sebenarnya kes tamakkan tanah, bukan perkara lain," katanya. Hamzah berkata agenda utama Israel ketika ini adalah untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, dan sejak serangan Israel pada 6 Julai, beliau dimaklumkan lebih 1,600 rumah musnah. Israel mula melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza awal bulan ini dan angka kematian rakyat Palestin telah mencecah lebih 500 orang. - BERNAMA Source : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RakyatPalestinperlulebihdaripadabantuankemanusiaan-ImamGaza/Article

Israel terus mengasak Gaza ketika dunia mengusahakan gencatan senjata

BANDARAYA GAZA: Israel terus mengasak Gaza bagi hari ke-14 semalam, mengakibatkan jumlah kematian rakyat Palestin meningkat kepada 570 orang, ketika Kaherah berusaha menjadi ‘broker’ gencatan senjata. Dengan serangan udara dan bedilan bertalu-talu ke atas semenanjung berkenaan, Israel berkata tujuh askarnya terbunuh setakat ini, menjadikan 25 askar dan dua orang awamnya maut setakat ini. Oleh kerana sebahagian besar mangsa terdiri daripada orang awam, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon merayu agar keganasan dihentikan segera. Pemimpin Liga Arab, Nabil al-Arabi mengegsa Hamas supaya menerima cadangan mesir untuk menamatkan pertempuran itu yang ditolaknya minggu lalu. - AFP Source : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsraelterusmengasakGazaketikaduniamengusahakangencatansenjata/Article

Monday, January 16, 2012

Israel mesti tamatkan penjajahan: Ban Ki-moon

BEIRUT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, semalam menyeru supaya penjajahan Israel di dunia Arab dihentikan.

Beliau juga berkata pembinaan penempatan haram menghalang usaha menyelesaikan sengketa yang sudah berlarutan puluhan tahun. “Penaklukan Israel terhadap wilayah Arab dan Palestin perlu diakhiri. Begitu juga dengan keganasan ke atas orang a awam,” katanya dalam ucaptama pada persidangan di Beirut mengenai demokrasi di dunia Arab. “Pembinaan penempatan sama ada baru atau lama adalah haram. Ia menghalang kewujudan sebuah negara Palestin,” katanya. - AFP

Sumber:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Israelmestitamatkanpenjajahan_BanKi-moon/Article/index_html

Tuesday, January 10, 2012

Hamas takkan letak senjata: Ismail

TUNIS: Perdana Menteri Hamas di Gaza berkata, militan anti-Israel tidak akan meletak senjata, menyerahkan wilayahnya atau menggugurkan tuntutan ke atas Baitulmaqdis bagi pihak Palestin.

Menurut Ismail Haniyeh, dia menjangkakan Israel berdepan kesukaran untuk bertindak balas terhadap negara Arab yang mengalami kebangkitan rakyat sejak setahun lalu.


Ismail berucap di depan 5,000 penonton dalam perhimpunan anjuran parti an-Nahda yang baru memenangi pilihan raya Tunisia.

Di pintu masuk, orang ramai berjalan dan memijak bendera Israel dan kebanyakannya turut melaungkan slogan antinegara itu. Bagaimanapun, tiada kedengaran jeritan “Bunuh Yahudi” yang menjadi slogan kumpulan konservatif ketika menyambut kedatangan Ismail tiga hari lalu. - AP

Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hamastakkanletaksenjata_Ismail/Article/index_html

Lieberman mahu lucut hak Arab Israel

BAITULMAQDIS: Menteri Luar Israel berkata, sesetengah penduduk keturunan Arab di negara itu patut dilucutkan kewarganegaraan dan diletak di bawah Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir damai yang akan dipersetujui.

Avigdor Lieberman membuat kenyataan itu menjelang pertemuan perunding damai Israel dan Palestin di Jordan hari ini.


Bercakap kepada media, Lieberman menegaskan pendiriannya bahawa, konflik dengan Palestin mesti membabitkan aspek persempadanan semula.

Dia juga mahu komuniti Arab ditadbir Palestin dan sebagai ganti, Israel mendapat wilayah Tebing Barat.


“Inilah masanya untuk menyatakan isu ini dengan jelas,” katanya. - AP

Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LiebermanmahulucuthakArabIsrael/Article/index_html