Tuesday, June 1, 2010

EU desak siasatan segera kematian aktivis pro-Palestin

BRUSSELS 31 Mei - Kesatuan Eropah (EU) menuntut diadakan siasatan segera mengenai kematian aktivis di atas kapal bantuan kemanusiaan Palestin yang dirampas tentera Israel hari ini dan mahu rejim tersebut membenarkan laluan bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.

EU juga memanggil satu mesyuarat tergempar negara-negara ahli ke Brussel bagi membincangkan insiden tersebut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa selepas enam kapal cuba melepasi sekatan Israel ke atas wilayah yang dikuasai pejuang Islam Palestin.

"Perwakilan Tinggi Catherine Ashton melahirkan rasa kekesalan terhadap berita korban nyawa dan keganasan yang berlaku serta menyatakan rasa simpati beliau kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera," kata jurucakap Ashton yang merupakan Ketua Polisi Luar EU.

"Bagi pihak EU, beliau meminta supaya satu inkuiri penuh diadakan bagi menyiasat bagaimana ia boleh terjadi."

Jurucakap tersebut berkata, Ashton juga mengulangi pendirian EU berhubung penutupan Gaza dengan mengatakan ia tidak boleh diterima dan tidak meningkatkan produktiviti dari segi politik.

Beliau menyeru Israel membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan, barangan komersial dan laluan orang ramai keluar dan masuk ke Gaza dengan segera, secara berterusan dan tanpa bersyarat.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membatalkan pertemuannya dengan Presiden Barack Obama di Washington esok, berikutan tindakan keras tentera Zionis ke atas kapal kemanusiaan menuju ke Gaza hari ini.

"Netanyahu memutuskan untuk memendekkan lawatannya ke Kanada dan pulang lebih awal ke Israel,'' menurut kenyataan kerajaan rejim Zionis. Netanyahu berada di Kanada sejak Jumaat. - REUTERS

Sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

No comments: