Tuesday, June 15, 2010

ICRC: Zionis langgar Konvensyen Geneva

GENEVA 14 Jun - Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) hari ini menyifatkan sekatan Israel ke atas Genting Gaza sebagai melanggar Konvensyen Geneva dan menggesa rejim Zionis itu menariknya balik.

Agensi kemanusiaan berkecuali itu juga menyeru pejuang Hamas yang menahan askar Israel, Gilad Shalit sejak hampir empat tahun lalu supaya membenarkan dia dihubungi oleh keluarganya, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Ekoran serangan komando Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza dua minggu lalu, penderitaan yang dialami oleh 1.5 juta penduduk wilayah Palestin akibat sekatan yang dikenakan sejak 2007 semakin mendapat perhatian antarabangsa.

Penduduk Gaza dibelenggu masalah pengangguran, kemiskinan dan kesan peperangan, manakala kualiti penjagaan kesihatan berada pada 'paras paling rendah dalam sejarah', menurut ICRC.

"Seluruh penduduk awam Gaza dikenakan hukuman kerana tindakan yang di luar tanggungjawab mereka.

"Dengan itu sekatan tersebut menandakan hukuman menyeluruh yang jelas melanggar kewajipan Israel di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," menurut ICRC dalam satu kenyataan lima muka.

Kenyataan tersebut menandakan kali pertama ICRC secara terang-terangan menggambarkan sekatan Israel sebagai melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang termaktub dalam Konvensyen Geneva.

Konvensyen Geneva Keempat 1949 yang ditandatangani oleh Israel mengharamkan hukuman menyeluruh ke atas penduduk awam.

Israel berhak untuk mengenakan sekatan ke atas bahan ketenteraan atas sebab keselamatan, tetapi skop sekatan itu sudah melampaui batas kerana turut meliputi barang keperluan asas, menurut ICRC.

"Kami menggesa Israel menamatkan sekatan itu dan menyeru semua pihak yang boleh mempengaruhi situasi sekarang, termasuk Hamas supaya berusaha sedaya upaya untuk membantu penduduk awam di Gaza," kata ketua operasi ICRC bagi Asia Barat, Beatrice Megevand-Roggo. - Reuters

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

No comments: