Wednesday, June 16, 2010

PBB mahu siasatan penuh

NEW YORK 15 Jun – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon akan terus berusaha supaya siasatan antarabangsa menyeluruh dijalankan mengenai serangan komando Israel ke atas flotila bantuan ke Genting Gaza sekalipun rejim Zionis itu sudah mengumumkan badan siasatannya sendiri.

Kabinet Israel semalam meluluskan penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan mengenai serangan 31 Mei lalu yang menyebabkan sembilan aktivis pro-Palestin dari Turki terbunuh.

Sebagai menyahut tuntutan antarabangsa supaya siasatan saksama dijalankan, rejim Zionis meletakkan dua pemerhati asing dalam panel tersebut.

“Setiausaha Agung mengambil perhatian terhadap pengumuman Israel mengenai siasatan mereka.

“Siasatan terperinci oleh Israel adalah penting dan mungkin selaras dengan cadangan Setiausaha Agung bagi memenuhi tuntutan masyarakat antarabangsa agar siasatan yang kredibel dan saksama dijalankan,” kata jurucakap PBB, Farhan Haq.

Namun Haq menambah, cadangan Ki-moon supaya siasatan antarabangsa dijalankan masih dipertimbangkan dan beliau mengharapkan jawapan positif daripada Israel.

Diplomat berkata, Ki-moon telah menggesa Israel supaya mempersetujui panel siasatan berkecuali yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer.

Reaksi berhati-hati PBB terhadap pengumuman Israel semalam, mungkin menandakan Ki-moon berasa ragu sama ada siasatan yang dikendalikan oleh rejim Zionis boleh dianggap memadai atau tidak.

Turki yang marah dengan tindakan komando Israel membunuh sembilan aktivisnya pada 31 Mei lalu berkata, siasatan Israel sudah tentunya berat sebelah dan PBB sepatutnya mengetuai sebarang siasatan mengenai insiden itu.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan penubuhan panel siasatan dalaman Israel itu sebagai langkah yang tidak memenuhi permintaan Majlis Keselamatan PBB.

Sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) menyokong kenyataan Majlis Keselamatan PBB pada 1 Jun lalu supaya ‘siasatan yang saksama, kredibel dan telus mengikut standard antarabangsa dijalankan segera’. – Reuters

Sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

No comments: