Wednesday, June 16, 2010

OIC sokong usul Malaysia....Negara mempunyai kedudukan istimewa dalam dunia Islam...

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan usul diluluskan Dewan Rakyat yang mengecam tindakan Israel menyerang dan menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, akhir bulan lalu.

Setiausaha Agungnya, Prof Tan Sri Dr Ekmeleddin Ihsanoglu, berkata usul itu sangat penting kerana negara Islam yang hebat perlu menunjukkan komitmen kepada dunia mengenai perkara berkenaan.

“Malaysia mempunyai peranan dan tempat yang istimewa dalam dunia Islam serta OIC, justeru suara Malaysia melalui Parlimen ini sangat penting.

“OIC bekerja selari dan kami menghargai usul ini serta akan bekerjasama dengan Malaysia bagi pelaksanaan keputusan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Sains Politik pada Majlis Konvokesyen Khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Anugerah disampaikan oleh Presiden UIAM yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam keganasan terbaru Israel terhadap konvoi kapal Mavi Marmara dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu, sembilan aktivis kebanyakannya dari Turki terkorban dan berpuluh lagi cedera serta ditawan termasuk 12 rakyat Malaysia.

Berikutan itu, pada 7 Jun lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mengandungi 15 ketetapan, termasuk mendesak supaya Israel diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dalam pada itu, Ekmeleddin berkata, Malaysia berjaya memberi sumbangan besar kepada dunia Islam, sejak menjadi antara negara peneraju dalam penubuhan OIC pada 1969.

Sementara itu dalam syarahan khasnya pada majlis berkenaan, Ekmeleddin berkata, OIC sudah menjalani proses transformasi dan kini memberi tumpuan kepada tindakan bersepadu, bukan lagi bersandarkan ekspresi emosi secara retorik semata-mata.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/OICsokongusulMalaysia/Article

No comments: