Wednesday, June 16, 2010

OIC sokong usul Malaysia....Negara mempunyai kedudukan istimewa dalam dunia Islam...

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan usul diluluskan Dewan Rakyat yang mengecam tindakan Israel menyerang dan menawan kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, akhir bulan lalu.

Setiausaha Agungnya, Prof Tan Sri Dr Ekmeleddin Ihsanoglu, berkata usul itu sangat penting kerana negara Islam yang hebat perlu menunjukkan komitmen kepada dunia mengenai perkara berkenaan.

“Malaysia mempunyai peranan dan tempat yang istimewa dalam dunia Islam serta OIC, justeru suara Malaysia melalui Parlimen ini sangat penting.

“OIC bekerja selari dan kami menghargai usul ini serta akan bekerjasama dengan Malaysia bagi pelaksanaan keputusan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Sains Politik pada Majlis Konvokesyen Khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Anugerah disampaikan oleh Presiden UIAM yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam keganasan terbaru Israel terhadap konvoi kapal Mavi Marmara dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu, sembilan aktivis kebanyakannya dari Turki terkorban dan berpuluh lagi cedera serta ditawan termasuk 12 rakyat Malaysia.

Berikutan itu, pada 7 Jun lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mengandungi 15 ketetapan, termasuk mendesak supaya Israel diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dalam pada itu, Ekmeleddin berkata, Malaysia berjaya memberi sumbangan besar kepada dunia Islam, sejak menjadi antara negara peneraju dalam penubuhan OIC pada 1969.

Sementara itu dalam syarahan khasnya pada majlis berkenaan, Ekmeleddin berkata, OIC sudah menjalani proses transformasi dan kini memberi tumpuan kepada tindakan bersepadu, bukan lagi bersandarkan ekspresi emosi secara retorik semata-mata.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/OICsokongusulMalaysia/Article

PGPO rancang guna semua laluan serentak ke Gaza

ALOR SETAR: Perdana Global Peace Organisation (PGPO) merancang untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza menerusi penggunaan semua laluan secara serentak selepas dua percubaan sebelum ini disekat rejim Zionis.

Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata tahun lalu, Israel menyekat bantuan yang disalurkan menerusi jalan darat di Mesir, dan baru-baru ini pula, merampas serta menyerang kapal yang cuba menghantar bantuan melalui laut.

"Dah dua kali gagal. Kali ini kita gunakan semua laluan serentak...laut dan darat. Kita mahu tunjukkan perpaduan kita dalam menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Jom Pakat Pi Tengok Bola" di Menara Alor Setar di sini, malam tadi.

Beliau berkata, walaupun pihaknya berasa seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu penduduk Gaza berikutan sekatan serta halangan oleh rejim zionis, namun demi kemanusiaan, usaha menyalurkan bantuan perlu diteruskan.

"PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu) gagal desak Zionis. Desakan demi desakan oleh masyarakat duniapun tidak berkesan. PBB dan keluarkan lebih 80 resolusi mengecam Israel, tetapi sampai sekarang tiada tindakan. Israel terus langgar undang-undang antarabangsa.

"Sepatutnya, sekatan yang dikenakan ke atas Gaza sekarang dikenakan pula ke atas Israel. Masyarakat dunia boleh kenakan sekatan ekonomi dan politik sehingga Israel akur. Tetapi malangnya, Israel dapat sokongan Amerika Syarikat dan negara Barat," katanya.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, bagaimanapun, usaha membantu penduduk Gaza mesti diteruskan dan tindakan Malaysia dalam perkara itu sentiasa diperhatikan masyarakat dunia.
Beliau berkata pihaknya akan meminta bantuan Wisma Putra bagi menjayakan rancangan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) menganjurkan Misi Konvoi Ramadan ke Gaza dengan mengumpulkan seramai 500 aktivis menjelang bulan puasa Ogos ini.

"Kita akan minta Wisma Putra runding dengan Mesir untuk membuka sempadan Rafah. Kita nak pergi beramai-ramai ke Gaza bukan hanya hantar makanan, tetapi sama-sama meraikan bulan Ramadan," katanya. - BERNAMA

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PGPOrancanggunasemualaluanserentakkeGaza/Article

PBB agih bantuan kemanusiaan ke Gaza

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata semalam, ia bersetuju mengambil balik bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas oleh Israel dan mengagihkannya di kawasan penempatan Palestin yang ditutup.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sudah memperoleh kebenaran pemilik tiga kapal yang didaftar di Turki bagi mengambil alih bahan berkenaan dan memikul tanggungjawab memastikan ia diagihkan di Gaza bagi tujuan kemanusiaan,” Penyelaras PBB bagi rantau Asia Barat, Robert Serry memberitahu Majlis Keselamatan PBB.

Israel merampas bahan bantuan berkenaan yang dibawa dengan kapal yang berdaftar di Turki dalam serangan di perairan antarabangsa 31 Mei lalu, yang meng-akibatkan sembilan aktivis Turki pro-Palestin terkorban.

Pada hari berikutnya, Majlis Keselamatan PBB, dalam sesi mesyuarat tergemparnya, mahukan ‘siasatan segera, berwibawa dan telus’ dijalankan berhubung serangan itu dan mendesak pembebasan serta-merta enam kapal dan beratus-ratus penyokong Palestin yang berada di dalam kapal berkenaan.

Serry berkata Israel kini bersetuju membebaskan semua barangan kargo itu kepada PBB di Gaza, ‘dengan persefahaman bahawa PBB akan menentukan kegunaannya untuk tujuan kemanusiaan di Gaza.’

“Kami mempunyai sebab untuk percaya bahawa pihak berkuasa di Gaza, iaitu Hamas, akan menghormati program PBB yang tidak memihak kepada sesiapa,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Turki kerana memainkan ‘peranan membina’ memudahkan proses berkenaan.

Di BEIRUT, sebuah kapal bantuan yang membawa bekalan perubatan ke Gaza akan berlepas dari Lubnan dalam tempoh beberapa hari, dengan penyertaan berpuluh-puluh aktivis wanita, kata salah seorang penganjurnya.

“Kami mewakili badan bebas wanita yang berhasrat memecahkan sekatan Israel di Gaza dan komited kepada perjuangan melawan Zionis,” kata Samar Hajj, yang menyelaraskan pelayaran kapal berkenaan.

Tegasnya, wanita terbabit tidak ada kaitan dengan kumpulan Hizbullah, atau mana-mana pertubuhan politik. – AFP

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PBBagihbantuankemanusiaankeGaza/Article

PBB mahu siasatan penuh

NEW YORK 15 Jun – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon akan terus berusaha supaya siasatan antarabangsa menyeluruh dijalankan mengenai serangan komando Israel ke atas flotila bantuan ke Genting Gaza sekalipun rejim Zionis itu sudah mengumumkan badan siasatannya sendiri.

Kabinet Israel semalam meluluskan penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan mengenai serangan 31 Mei lalu yang menyebabkan sembilan aktivis pro-Palestin dari Turki terbunuh.

Sebagai menyahut tuntutan antarabangsa supaya siasatan saksama dijalankan, rejim Zionis meletakkan dua pemerhati asing dalam panel tersebut.

“Setiausaha Agung mengambil perhatian terhadap pengumuman Israel mengenai siasatan mereka.

“Siasatan terperinci oleh Israel adalah penting dan mungkin selaras dengan cadangan Setiausaha Agung bagi memenuhi tuntutan masyarakat antarabangsa agar siasatan yang kredibel dan saksama dijalankan,” kata jurucakap PBB, Farhan Haq.

Namun Haq menambah, cadangan Ki-moon supaya siasatan antarabangsa dijalankan masih dipertimbangkan dan beliau mengharapkan jawapan positif daripada Israel.

Diplomat berkata, Ki-moon telah menggesa Israel supaya mempersetujui panel siasatan berkecuali yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer.

Reaksi berhati-hati PBB terhadap pengumuman Israel semalam, mungkin menandakan Ki-moon berasa ragu sama ada siasatan yang dikendalikan oleh rejim Zionis boleh dianggap memadai atau tidak.

Turki yang marah dengan tindakan komando Israel membunuh sembilan aktivisnya pada 31 Mei lalu berkata, siasatan Israel sudah tentunya berat sebelah dan PBB sepatutnya mengetuai sebarang siasatan mengenai insiden itu.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan penubuhan panel siasatan dalaman Israel itu sebagai langkah yang tidak memenuhi permintaan Majlis Keselamatan PBB.

Sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) menyokong kenyataan Majlis Keselamatan PBB pada 1 Jun lalu supaya ‘siasatan yang saksama, kredibel dan telus mengikut standard antarabangsa dijalankan segera’. – Reuters

Sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Menteri kabinet Israel pertimbang longgarkan sekatan di Gaza

BAITULMAQDIS 16 Jun - Kabinet Keselamatan Israel akan bertemu hari ini bagi membincangkan kemungkinan untuk melonggarkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza, lapor stesen televisyen.

Kedua-dua saluran umum dan swasta Channel 10 melaporkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang menerima tekanan kuat dari pihak antarabangsa, memutuskan untuk "sangat" mengurangkan sekatan dan mengambil langkah-langkah menamatkannya Rabu ini.

Seorang pegawai kanan Israel, yang enggan menyatakan namanya berkata, hanya 15 orang ahli kabinet keselamatan itu sahaja yang menyemak hal berkaitan melucutkan sekatan Gaza hari ini. - AFP

Sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm